KPM Siasat Guru Malukan Murid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular memaparkan seorang murid dimarahi dan dimalukan oleh seorang guru di hadapan rakan-rakannya hingga memberi kesan emosi kepada kanak-kanak terbabit.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan insiden itu sebagai amat dikesali dan menegaskan perkara sebegitu tidak seharusnya berlaku dalam sistem pendidikan negara.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, untuk menyiasat secara menyeluruh dan serius kerana ia membabitkan isu integriti serta etika profesion perguruan,” katanya, seperti dilaporkan Berita Harian.

Menurut beliau, penyebaran rakaman tersebut bukan sahaja menjejaskan emosi murid berkenaan, tetapi turut mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat terhadap amalan pendidik di sekolah.

“Guru telah berkali-kali diingatkan supaya sentiasa menjaga integriti dan etika sebagai penjawat awam, tanpa mengira apa jua situasi yang dihadapi,” tegasnya.

Tambah beliau, sebarang tindakan mendidik murid perlu dilakukan secara profesional dan berhemah, serta mengambil kira sensitiviti dan kesejahteraan emosi pelajar.

“Saya yakin masih ada ruang dan pendekatan yang lebih selamat, privasi dan berkesan dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan murid tanpa perlu menjatuhkan maruah mereka di khalayak,” ujarnya.

Video yang tular semalam memaparkan seorang murid sekolah rendah menangis selepas dimarahi oleh guru di kantin sekolah.

Insiden berkenaan dipercayai dirakam oleh seorang lagi guru sebelum dikongsi kepada ibu murid tersebut.

Fadhlina turut menegaskan bahawa KPM telah menetapkan garis panduan jelas berkaitan etika profesionalisme guru, termasuk ketika berinteraksi di luar bilik darjah dan dalam ruang media sosial.

“Kita tidak akan berkompromi dalam isu yang menyentuh maruah dan kesejahteraan murid,” katanya lagi.

Siasatan dalaman sedang dijalankan dan KPM dijangka akan mengambil tindakan sewajarnya bergantung kepada hasil siasatan.

BBerkaitan

Latest articles