KPM Seru Masyarakat Raikan Semua Calon SPM, Bukan Hanya Yang Cemerlang

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyeru masyarakat agar meraikan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 tanpa mengira tahap pencapaian mereka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua calon telah memberi sumbangan penting kepada keputusan keseluruhan SPM tahun ini dan seharusnya dihargai atas usaha masing-masing.

“Saya tak nak sebut yang tak cemerlang, saya sebut tahniah kepada semua anak-anak. Kita kena ingat, apa sahaja keputusan mereka, ia menyumbang kepada gred purata sekolah, daerah dan negeri,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses penyerahan keputusan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Kajang, hari ini.

Menurutnya lagi, yang lebih utama adalah memastikan semua pelajar meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi walau apa pun keputusan yang diterima.

“Kita raikan dengan penuh rasa bangga dan keputusan itu harus menjadi dorongan untuk mereka terus melangkah ke depan,” tambah Fadhlina.

Dalam pada itu, keputusan SPM 2024 yang diumumkan hari ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Seramai 355,933 calon atau 94.0 peratus layak dianugerahkan sijil, berbanding 349,297 calon (93.5 peratus) pada tahun 2023 – peningkatan sebanyak 6,636 calon atau 0.5 peratus.

Pencapaian calon cemerlang yang memperoleh semua A juga meningkat kepada 14,179 orang (3.7 peratus), berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan menyifatkan pencapaian tahun ini sebagai yang terbaik sejak tahun 2013 – iaitu selepas syarat kelulusan wajib bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah diperkenalkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa penurunan dalam indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) menunjukkan prestasi akademik calon semakin baik secara menyeluruh.

BBerkaitan

Latest articles