KPM Serah Siasatan Penuh Kes Pelajar Tumbuk Guru Kepada Polis

KAJANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berkaitan kes seorang pelajar menumbuk guru dalam satu insiden di sebuah sekolah menengah di Kajang semalam.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, meskipun pihaknya mempunyai garis panduan dan peraturan dalaman, kes ini kini di bawah bidang kuasa pihak berkuasa.

“Di peringkat KPM, kita ada peraturan dan peraturan kita berjalan seperti biasa.

“Namun apabila polis sudah ambil alih kes itu, kita serahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah malam tadi.

Beliau hadir menyambut kepulangan kumpulan orkestra Sekolah Seri Puteri, SPWinds, yang mencipta sejarah sebagai wakil tunggal Malaysia memenangi Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11 di Vienna, Austria.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang pelajar lelaki bergelut dengan gurunya selepas ditegur kerana ponteng kelas pendidikan jasmani.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan, pelajar berusia 14 tahun itu bukan sahaja bergelut, malah mengugut dan menumbuk muka gurunya di hadapan beberapa guru dan pelajar lain.

Susulan kejadian, pelajar terbabit ditahan dan kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

Ketika ditanya sama ada KPM akan memanggil pihak yang merakam video kejadian memandangkan ia berlaku di dalam kawasan sekolah, Fadhlina tidak menolak kemungkinan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan guru terlibat menjadi keutamaan kementerian.

“Kita akan beri tumpuan terhadap sokongan dan sesi kaunseling kepada guru juga. Sokongan moral dan psikologi kepada guru sangat penting untuk kesejahteraan mereka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles