KPM Sedia Terima Pelajar Kes Buli – “Tugas Kita Mendidik Semua Anak Bangsa”

SEPANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan komitmennya untuk tidak menolak mana-mana pelajar, termasuk mereka yang dibuang daripada institusi pendidikan lain kerana terbabit dalam kes buli.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pendidikan adalah hak semua pelajar, dan tanggungjawab KPM adalah untuk mendidik, bukan menghukum.

“Tugas mendidik memang di bawah tanggungjawab KPM. Jadi jika pelajar kes buli dihantar ke sekolah KPM, kita kena terima.

“Kita sentiasa bersedia menerima siapa sahaja anak-anak kita untuk dididik, kerana itu komitmen kita,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Fadhlina hadir menyambut kepulangan kumpulan orkestra Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri, yang baru pulang daripada pertandingan antarabangsa.

Kenyataan beliau dibuat susulan tindakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang mengambil pendirian tegas untuk membuang pelajar yang terbabit dalam kes buli di institusi-institusi pendidikannya, termasuk di beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Tindakan tanpa kompromi Mara itu mencetuskan perdebatan awam mengenai masa depan pelajar terbabit, dan sama ada mereka akan diserap masuk ke sekolah-sekolah KPM.

Menjawab kebimbangan itu, Fadhlina berkata KPM tidak akan menolak sebarang pelajar, namun turut menegaskan bahawa kementerian mempunyai pendekatan bimbingan menyeluruh terhadap pelajar-pelajar bermasalah.

“Kita beri tumpuan terhadap intervensi kaunseling, pembentukan semula karakter dan disiplin dari sudut pendidikan. Ini pendekatan yang kita bawa, kerana kita percaya setiap pelajar masih berpeluang berubah,” ujarnya.

Tegas beliau, menerima pelajar bermasalah tidak bermakna KPM mengabaikan keselamatan dan persekitaran pendidikan pelajar lain.

Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada pendekatan inklusif KPM dalam membina masa depan anak muda secara holistik.

Sebelum ini, beberapa insiden buli dilaporkan berlaku di MRSM Terengganu, Pulau Pinang dan Melaka, menyebabkan pelajar-pelajar terbabit dikenakan tindakan buang sekolah.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menegaskan bahawa tiada ruang untuk pelaku buli, malah institusi di bawah Mara akan terus bertegas demi menjaga integriti dan keselamatan pelajar lain.

BBerkaitan

Latest articles