KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperketat pemantauan terhadap penjaja dan peniaga kecil di luar premis sekolah bagi memastikan keselamatan murid terjamin.
Langkah ini diambil susulan insiden tragis melibatkan seorang murid Tahun 4 yang meninggal dunia selepas tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, menegaskan bahawa larangan penjualan makanan dan minuman dalam radius 40 meter dari pagar sekolah telah ditetapkan dalam Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pagar Sekolah Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (Edisi Kedua 2021).
“Kita di peringkat sekolah ambil maklum dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan peraturan ini dipatuhi,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang murid Tahun 4, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas akibat tercekik gula-gula kenyal.
Kejadian berlaku pada petang Selasa ketika mangsa menghadiri kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.
Mangsa dikatakan meminta izin untuk ke tandas selepas mengalami kesukaran bernafas. Namun, ketika dalam perjalanan, dia rebah dan tidak sedarkan diri.
Mohamad Fahmi Hafiz yang dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) serta dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) akhirnya menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11 malam semalam.