PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan Program Pembentukan Karakter bermula seawal peringkat prasekolah sebagai inisiatif utama di bawah Kurikulum Persekolahan 2027 bagi melahirkan generasi murid yang berakhlak, beradab dan bertanggungjawab.
Dalam satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan program berkenaan memberi penekanan kepada aktiviti pembelajaran yang menghayati nilai murni, membentuk tingkah laku positif serta menerapkan adab dan akhlak dalam kehidupan seharian murid.
Bagi peringkat prasekolah, program itu akan dijalankan secara bersepadu melalui aktiviti harian pembelajaran.
Sementara itu, bagi sekolah rendah dan menengah, Program Pembentukan Karakter akan dilaksanakan secara khusus selama 60 minit setiap minggu dan dimasukkan ke dalam jadual waktu rasmi.
“Langkah ini membolehkan pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang, sistematik dan berfokus,” jelas KPM.
Menurut kementerian, pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen KPM untuk melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan jati diri, selaras aspirasi pendidikan negara.
Program baharu ini juga dilihat sebagai usaha memperkukuh nilai moral dalam kalangan murid di tengah kebimbangan masyarakat terhadap isu disiplin dan keruntuhan akhlak pelajar.