KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memperkukuh langkah keselamatan di sekolah susulan beberapa insiden tragis melibatkan pelajar, termasuk kes pembunuhan di Petaling Jaya baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian akan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan di semua institusi pendidikan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Saya dan timbalan saya (Wong Kah Woh) mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden ini. Kami akan melakukan yang lebih baik. Kita akan terus menambah baik langkah keselamatan dan memperkukuh budaya keprihatinan di sekolah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan bahawa reformasi ini akan digerakkan secara kolaboratif dengan sokongan guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
Pada 14 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, Yap Shing Xuen, maut selepas ditikam rakan sekolahnya di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Suspek lelaki berusia 14 tahun kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Fadhlina menyifatkan insiden itu sebagai tragedi besar yang meruntun hati warga pendidik di seluruh negara.
“Hanya Tuhan yang tahu betapa dalamnya kesakitan ini. Duka menerima satu lagi berita kematian anak murid yang dikasihi. Hati saya luluh melihat para guru dalam keadaan lara dan gundah,” ujarnya.
Beliau turut meniup semangat kepada para pendidik agar kekal tabah dan bersatu menghadapi ujian ini.
Fadhlina merakamkan penghargaan ke atas pengorbanan guru yang terus menjalankan amanah mendidik walaupun berdepan tekanan emosi dan cabaran keselamatan.
“Sabar, kuat semangat dan teruskan mandat pendidikan kita. KPM akan sentiasa berdiri teguh bersama anda,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas sokongan berterusan, termasuk bantuan intervensi psikososial.
“Sokongan ibu bapa amat penting dalam usaha membina semula kekuatan dan roh institusi pendidikan,” ujarnya.
KPM menegaskan bahawa keselamatan pelajar menjadi keutamaan, dan sebarang langkah baharu akan dilaksanakan secara inklusif demi memastikan sekolah kembali menjadi tempat yang selamat, harmoni dan membina masa depan negara.