KPM Digesa Lantik Badan Bebas Siasat Kematian Murid Lemas Dalam Peogram Keyakinan Air

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa menubuhkan pasukan siasatan bebas dan profesional bagi menyiasat insiden tragis kematian seorang murid berusia 11 tahun yang lemas ketika menyertai program sokongan keyakinan air di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, minggu lalu.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hassan, berkata laporan penuh mengenai kejadian itu perlu dikemukakan segera bagi memastikan punca sebenar dikenal pasti dan langkah pencegahan dapat diambil.

“Kita amat sedih perkara ini berlaku dan berharap tragedi seperti ini tidak berulang. Pihak berwajib perlu menyiasat sama ada pihak sekolah mematuhi garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya memetik Free Malaysia Today (FMT).

Pada Jumaat lalu, seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dilaporkan meninggal dunia selepas dua hari dirawat akibat lemas ketika menyertai program berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE) turut menggesa kerajaan memperketatkan semula garis panduan aktiviti air di sekolah bagi memastikan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan.

Pengerusinya, Noor Azimah Abdul Rahim, berkata kejadian itu amat menyedihkan memandangkan program berkenaan sepatutnya bertujuan mendidik murid supaya tidak panik atau lemas ketika berada di dalam air.

“Ironinya, murid itu kehilangan nyawa ketika mengikuti program untuk belajar cara mengelakkan lemas. Kami juga mahu tahu sama ada jurulatih yang terlibat benar-benar terlatih serta cukup kelengkapan keselamatan seperti pelampung dan pengawal air,” katanya.

Menurut beliau, KPM perlu memberi penjelasan terperinci termasuk aspek latihan tenaga pengajar, kehadiran pegawai keselamatan dan prosedur kecemasan yang dilaksanakan semasa aktiviti dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles