KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa semua pihak agar memberi ruang kepada siasatan berhubung kesilapan paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dalam Laporan Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, sebelum membuat sebarang spekulasi atau tekanan.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk siasatan dalaman oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bagi memastikan insiden itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Bagi ruang kepada siasatan ini, apa yang susah sangat? Kita percaya siasatan yang dijalankan akan dilakukan dengan integriti penuh. Tujuan utama adalah untuk memastikan kesilapan sama sekali tidak berulang lagi,” katanya kepada media pada majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56, hari ini.
Fadhlina menegaskan, KPM memandang serius insiden tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap kesilapan melibatkan simbol kebangsaan.
“Kita cukup tegas, saya ulang banyak kali – kita tidak akan membiarkan perkara ini terlepas begitu sahaja. Isu Jalur Gemilang bukan perkara main-main, kita ada komitmen besar terhadap simbol negara ini,” tegasnya.
Kenyataan Fadhlina hadir susulan gesaan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik agar pegawai tertinggi KPM bertanggungjawab dan meletakkan jawatan atas kesilapan yang disifatkan sebagai memalukan serta tidak boleh dipandang ringan.
Maszlee menegaskan bahawa kementerian yang bertanggungjawab mendidik rakyat tidak sepatutnya cuai dalam hal berkaitan simbol rasmi negara, terutama dalam penerbitan dokumen rasmi seperti laporan SPM.
Insiden yang tular di media sosial itu memperlihatkan Jalur Gemilang yang dipaparkan tidak lengkap, menimbulkan kecaman orang ramai yang menganggap ia sebagai tindakan tidak sensitif terhadap simbol kebangsaan.
KPM sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan segera telah dimulakan untuk mengenal pasti punca kesilapan berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.