KPM Akan Umum Tarikh Pembukaan Semula Sekolah Esok

 

Kementerian Pendidikan akan mengumumkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan bagi 398,446 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), pada esok.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya keputusan itu akan diketahui melalui mesyuarat antara Kementerian Pendidikan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipengerusikan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, petang ini.

“Pada petang ini, rasanya keputusan paling penting akan dicapai bersama KKM dan MKN, dan esok andai kata diputuskan bila (tarikh pembukaan sekolah), kita mungkin dapat mengetahui bila sesi sekolah akan mula dibuka.

“Namun, sekolah hanya akan dibuka selepas dua minggu pengumuman (pembukaan sekolah) dibuat. Selagi tiada pengumuman, selagi itu tiada sekolah akan dibuka,” katanya.

Bagi peringkat pertama pembukaan sesi persekolan ini hanya akan melibatkan seramai 347,177 pelajar yang akan menduduki SPM, 2,935 (SVM), 2,738 (STAM) dan 45,596 (STPM).

Sementara itu, untuk tenaga pengajar pula, seluruh guru akan terlibat untuk sesi pengajaran dan tidak terhad kepada guru-guru yang mengajar pelajar yang menghadapi peperiksaan sahaja.

“Setiap guru akan menolong ketika proses pembelajaran dan pengajaran kerana setiap kelas hanya akan mempunyai antara 16 dan 20 pelajar.

“Setelah itu dilaksanakan, kami memerlukan lebih banyak guru untuk saling membantu. Kita perlu memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berjalan lancar,” kata Muslimin.

Untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di kalangan pelajar, setiap sekolah akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita memberi jaminan, pelajar tidak bergejala akan dibenarkan ke sekolah. Sekiranya mereka menunjukkan gejala seperti selesema, mereka akan dinasihatkan pulang atau menjalani saringan di bilik kesihatan di sekolah yang akan disediakan,” katanya.

Malah ibu bapa supaya diingatkan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya menunjukkan gejala seperti demam, batuk dan selesema.

Terdahulu pada semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak kementerian akan membincangkan perincian dengan Kementerian Pendidikan hari ini berhubung tarikh pembukaan sekolah.

BBerkaitan

Latest articles