KUALA LUMPUR, —kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengambil langkah proaktif bagi menangani kesan sekatan eksport baja global terhadap sektor agri-komoditi negara.
Menterinya Dr Noraini Ahmad berkata Malaysia mengimport antara empat hingga lima juta tan baja setiap tahun dengan nilai pasaran melebihi RM5 bilion, sekali gus menjadikan kestabilan bekalan sebagai keutamaan strategik negara.
Bagi memastikan kesinambungan bekalan dalam jangka pendek, KPK telah melaksanakan beberapa langkah segera termasuk memperluas sumber import melalui rundingan strategik dengan pembekal sedia ada dan baharu, selain mengaktifkan saluran bekalan alternatif dalam tempoh tiga hingga enam bulan.
“Usaha ini juga bertujuan memastikan harga bekalan kekal kompetitif supaya tidak memberi tekanan kepada pemain industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pendekatan tersebut penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber bekalan serta meningkatkan ketahanan rantaian bekalan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Dalam masa sama, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 turut menyediakan sokongan kewangan melalui geran dan pinjaman mudah di bawah program TSPKS 2.0, termasuk pembiayaan kos baja bagi tanaman dalam tempoh tidak matang antara tahun pertama hingga ketiga.
Mengulas langkah jangka panjang, beliau berkata kerajaan akan mempercepatkan transformasi struktur industri melalui penggunaan baja berasaskan biojisim, biogas dan biochar, di samping mengukuhkan amalan ekonomi kitaran dalam sektor perladangan.
“Inisiatif ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesuburan tanah dan hasil tanaman, malah mengurangkan kebergantungan negara kepada baja kimia import,” katanya.
KPK juga telah memulakan libat urus bersama pengeluar baja tempatan bagi mengutamakan bekalan untuk pasaran domestik, menstabilkan harga serta meningkatkan kapasiti industri dalam jangka sederhana.
Kerajaan, katanya, akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kepentingan negara, khususnya dalam memastikan bekalan baja mencukupi serta kebajikan pekebun kecil terus terpelihara.
Beliau menegaskan sektor agri-komoditi kekal sebagai tunjang penting ekonomi Malaysia dan kerajaan komited memastikan sektor itu terus stabil, mampan serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.










