Dakwaan Andrian Lim Chee En kononnya KPISoft Sdn Bhd dimiliki oleh syarikat asing adalah tidak benar, sebaliknya ia dimiliki oleh dua orang warganegara Malaysia, Anuar Rozhan dan Raveenderan Ramamoothie.
Syarikat tersebut juga mempunyai status Koridor Raya Multimedia (MSC) dan ditubuhkan sejak tahun 2010, selain mendapat bimbingan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Sejak penubuhannya pada tahun 2010, KPISoft telah berkembang dengan bimbingan daripada MDEC selaras dengan objektif MDEC dalam memperkembangkan industri tempatan ke peringkat global.
“KPISoft adalah penyedia platform untuk aplikasi MySejahtera yang dilancarkan pada 20 April 2020. Aplikasi MySejahtera ini adalah kerjasama strategik antara MKN, KKM, MAMPU, SKMM dan MOSTI. Sehingga kini, aplikasi MySejahtera telah mempunyai hampir 6 juta orang pengguna di Malaysia,” demikian memetik satu perkongsian di Facebook Friends of Biru, hari ini.
Dalam kenyataan yang sama, turut ditegaskan adalah tidak ada sesen pun wang rakyat Malaysia digunakan untuk membangunkan aplikasi MySejahtera memandangkan syarikat itu menawarkan khidmat tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Tuduhan Adrian Lim bahawa data rakyat Malaysia itu mungkin diakses oleh pihak luar juga adalah tidak tepat kerana semua data mengenai MySejahtera adalah disimpan di National Cyber Security Agency, NACSA, sebuah agensi kerajaan Malaysia.
“Berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), maklumat semua rakyat Malaysia ini hanya digunakan untuk pemantauan dan pencegahan wabak penyakit Covid-19 dan tidak akan dikongsikan dengan pihak-pihak lain.”
Sehubungan itu, pihak tersebut mahu Andrian dikenakan tindakan undang-undang kerana membuat fitnah berkenaan usaha kerajaan dalam mengatasi penularan Covid-19.
“Bukankah ini satu kejayaan buat semua? Apa yang Adrian Lim ini dengki sangat dengan aplikas MySejahtera? Lagipun KPISoft Sdn Bhd tidak ambil sesen pun, mereka hanya buat ini secara CSR,” demikian menurut kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, status syarikat yang membangunkan MySejahtera, satu aplikasi rasmi kerajaan untuk menjejak penyebaran Covid-19 – dipersoal beberapa pihak dengan mendakwa ia dibangunkan oleh syarikat asing dan menggunakan dana awam.
Andrian memuatnaik dakwaan berkenaan di Facebooknya pada awal bulan ini.