KPI Pelaburan Negara Turut Libatkan Pelaburan Langsung Domestik

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara Kedua (MPN/02/2023) hari ini menetapkan pelaburan langsung domestik (DDI) menjadi salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan, khususnya melalui MITI komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan KDNK yang mampan, tetapi juga bagi memperkasakan ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi pelbagai cabaran global, termasuk ancaman perubahan iklim, serta pelbagai cabaran pasca-pandemik dan geopolitk yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi.

Terdahulu, mesyuarat berkenaan berlangsung di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Pelaburan DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih FDI kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar-dasar kerajaan bagi memantapkan lanskap pelaburan dan perniagaan negara.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, namun kerajaan berpendapat usaha meningkatkan DDI perlu lebih menyeluruh.

“Sehubungan itu, mesyuarat MPN hari ini juga menekankan salah satu mesej Ekonomi Madani yang diumumkan pada 27 Julai 2023 iaitu mengenai betapa pentingnya kerjasama dan pembabitan strategik oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperkasakan DDI,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Anwar, secara keseluruhannya, GLIC hari ini mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion, dan memainkan peranan yang penting bukan sahaja bagi memacu pembangunan infrastruktur kritikal, dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga bagi membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.

MPN, katanya, mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi. FDI penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuhkan
ekonomi negara.

”Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan faedah FDI kepada negara, pemerkasaan pelaburan domestik berkualiti tinggi adalah sama penting dan mesti terus dipermudah dalam memacu ekonomi negara sekaligus mengembangkan struktur rantaian industri, terutamanya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” ujarnya.

Bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek yang diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama) di Malaysia yang akan menjana 140,440 peluang pekerjaan.

Manakala DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9%) kepada jumlah ini.

Bagi suku pertama 2023, nisbah FDI:DDI adalah 52.5% bagi FDI dan 47.5% bagi DDI, dari komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7% tahun-ke-tahun).

Peningkatan nisbah DDI mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa, kata Anwar lagi.

Mesyuarat MPN kedua ini juga antara lain turut membincangkan mengenai mekanisme terbaik dalam memperkemaskan lanskap Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara menjelang 1 Januari 2024.

Sehubungan itu, MPN juga memutuskan bahawa Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan di antara MITI dan kesemua IPA akan diaktifkan semula.

BBerkaitan

Latest articles