KPDN Perluas Inisiatif Ehsan Food Bank, Libatkan Industri dan NGO

KUALA LUMPUR — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan pelaksanaan inisiatif Ehsan Food Bank melalui kerjasama strategik dengan pihak industri, hotel, peruncit dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyantuni komuniti serta mengurangkan pembaziran makanan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi program Incubator Ehsan Food Bank, yang antaranya melibatkan penyediaan mesin retort oleh KPDN bagi memproses lebihan makanan menjadi makanan siap dimakan (ready-to-eat) sebelum diagihkan kepada kumpulan sasar.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 14 mesin retort telah disalurkan kepada beberapa institusi dan rakan strategik termasuk Sri Pacific Hotel, Le Méridien Putrajaya, Marriott Putrajaya dan Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.

“Program ini bukan sahaja menyantuni komuniti, tetapi juga menyelamatkan makanan serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan keselamatan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata sejak dilaksanakan pada tahun 2020, inisiatif Food Bank di bawah Sekretariat KPDN telah memberi manfaat kepada kira-kira 1.16 juta isi rumah di seluruh negara.

Armizan turut memaklumkan kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mempertimbangkan bentuk pengiktirafan atau insentif kepada industri dan NGO yang terlibat aktif dalam inisiatif Food Bank, dengan sasaran untuk dilaksanakan seawal mungkin termasuk melalui Belanjawan akan datang katanya.

Beliau berkata cadangan tersebut masih di peringkat awal perbincangan dan diharapkan dapat dipertimbangkan untuk dilaksanakan, selewat-lewatnya sebagai salah satu inisiatif dalam Belanjawan tahun hadapan.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut penting bagi menggalakkan lebih banyak syarikat, peruncit dan organisasi menyertai usaha menyelamatkan makanan serta membantu komuniti memerlukan.

“Makanan yang hampir tarikh luput contohnya masih boleh dimanfaatkan dan diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk komuniti di kawasan PPR atau pelajar di institusi pengajian tinggi.

“Melalui gerakan yang lebih tersusun, makanan yang sebelum ini dilupuskan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Dalam program yang berlangsung malam ini, KPDN bersama rakan strategik termasuk World Trade Centre Kuala Lumpur, QSR Brands dan beberapa NGO turut melaksanakan program Santuni Komuniti dengan mengagihkan makanan kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, IPD Sentul serta golongan gelandangan di sekitar ibu negara.

Armizan berkata program seumpama itu akan terus diperluaskan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi memperkasakan lagi pelaksanaan Ehsan Food Bank.

BBerkaitan

Latest articles