KPDN Laksana Ops Pantau 2025, Kawal Harga Dan Bekalan Barang

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memulakan Ops Pantau 2025 hari ini, yang akan berlangsung sehingga Hari Raya Aidilfitri, bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata operasi ini dijalankan secara seragam dan berfokus di seluruh negara, dengan tumpuan di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya, serta kedai runcit.

“Ops Pantau 2025 akan memfokuskan pemeriksaan terhadap bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barangan tiruan atau cetak rompak, perbahasaan halal, serta penjualan keperluan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa KPDN akan meningkatkan kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan pengguna melalui penggunaan van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna (STAR), kereta peronda, serta Unit Ronda Bermotosikal.

Selain itu, Pusat Arahan Penguat Kuasa akan beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam bagi memastikan tindakan segera diambil terhadap aduan pengguna.

Dalam pada itu, KPDN mengingatkan peniaga supaya terus mematuhi peraturan yang ditetapkan dan menyokong gerakan Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT).

Terdahulu, Datuk Armizan turut meninjau Pasar Raya Giant Seri Kembangan serta pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Pangsapuri Permai, Kuala Lumpur dan Pasar Raya Lotus’s Kajang.

Lawatan ini bertujuan menilai isu semasa berkaitan bekalan barang di pasaran serta memastikan kelancaran operasi PJRM.

“Saya telah mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN supaya pemantauan lebih kerap dan bersasar dilakukan di premis runcit seluruh negara sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal,” katanya. — BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles