KPDN Bekerjasama Dengan KPKM Pantau Harga, Bekalan Beras

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui wujud isu kekurangan bekalan beras tempatan berdasarkan pemeriksaan ke atas 6,141 pembekal dan peruncit seluruh negara.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu kekurangan bekalan beras putih tempatan telah berlaku sejak Ogos lalu dan dilihat semakin serius mulai September.

“Hari ini pun saya akui sendiri, pemantauan saya di dua tempat yang saya pantau mendapati kedua-dua pasar raya ini pemiliknya memaklumkan berlaku gangguan bekalan beras tempatan.

“Ada bekalan tetapi jumlah yang diterima adalah jauh berkurangan dan gangguan ini bukan hanya bermula setelah diumumkan kenaikan harga itu tetapi bermula bulan lepas lagi.

“Dalam bulan Ogos sekalipun telah bermula kurangnya pengeluaran kepada bekalan beras tempatan dan lebih serius pada bulan September ini tapi bekalan masih ada,” ujarnya di sidang media selepas melakukan pemantauan harga barangan keperluan asas di Pasar Raya Sri Ternak dan Pasar Raya NSK, Selayang, hari ini.

Dalam pada itu, dalam usaha menangani masalah berkenaan, Armizan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menjalankan penguatkuasaan yang menyeluruh.

Mengulas mengenai kekurangan telur ayam di pasaran, beliau memberitahu, gangguan bekalan hanya berlaku bagi telur ayam gred A namun secara keseluruhan, bekalan barangan asas tersebut masih stabil.

Ditanya tentang dakwaan minyak paket hanya dijual kepada warga asing, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, siasatan KPDN mendapati insiden berkenaan tidak berlaku.

BBerkaitan

Latest articles