KP Selangor Sahkan Ancaman Bom Hanya Berita Palsu

KUALA LUMPUR: Tidak ada sebarang bom yang ditanam di beberapa sekolah antarabangsa yang didakwa menerima ancaman pada hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan, sambil berkata khabar ancaman bom itu adalah berita palsu yang disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan kerisauan dan kegusaran awam.

Dalam pada itu pasukan unit pemusnah bom polis Kontinjen Selangor telah digerakkan ke sekolah-sekolah yang berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut selepas menerima maklumat tersebut.

“Bagaimanapun, hasil siasatan yang dijalankan di tempat kejadian sehingga 1 tengah hari tadi, polis tidak menemui sebarang bom yang didakwa ditanam di sekolah-sekolah berkenaan,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Hari ini Polis Selangor menerima tujuh maklumat berkaitan emel ancaman bom yang ditanam di beberapa sekolah.

Pengirim menggunakan nama [email protected], dengan mendakwa telah menghantar ancaman bom ke beberapa sekolah di daerah Kajang, Petaling Jaya, Kuala Langat, Subang Jaya dan Shah Alam.

Hussein turut menasihatkan pihak sekolah dan ibu bapa supaya tidak cepat panik sekiranya menerima emel yang menyatakan terdapat ancaman bom di sekolah.

“Sebaliknya laporkan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan segera kerana langkah itu penting bagi mengelakkan timbulnya kegusaran dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui kesahihan maklumat yang tular itu.

“Buat masa ini, pihak polis masih meneruskan siasatan bersama agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan motif di sebalik e-mel palsu ini.

“Kita memberi jaminan keadaan di kawasan sekolah dan persekitarannya adalah selamat sementara keutamaan akan diberi dalam apa jua keadaan sekalipun bagi memastikan pelajar sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat dan ibu bapanya tidak perlu risau tentang keselamatan anak anak mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menegaskan polis tidak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyebaran berita palsu ancaman bom ini.

Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan merangkumi kesalahan menakutkan secara jenayah membawa penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes juga boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian.

BBerkaitan

Latest articles