KP Kedah Sahkan Tiada Laporan Diterima Dakwaan Sanusi Terancam

KUALA LUMPUR: Tiada laporan diterima pihak polis Kedah berhubung dakwaan keselamatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terancam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sekiranya Muhammad Sanusi berdepan masalah ancaman, laporan perlu dibuat kepada pihak polis agar bantuan dan siasatan dapat dilakukan.

“Polis mempunyai pegawai pengiring untuk semua menteri besar dan pada saya tidak ada isu keselamatan.

“Kalaulah dia yang menghadapi isu keselamatan, pegawai polis yang menjadi mengiring bila-bila masa boleh menghubungi kami kalau ada ancaman untuk kita sedia membantu.

“Tidak ada apa-apa ancaman kita tengok ke atas mana-mana calon, ini saya nak kongsi kerana kita ada petugas di bawah, kita ada juga bantuan dari Bukit Aman, kita ada pasukan dari Cawangan Khas.

“Kita tak terima apa sahaja menunjukkan ancaman sama ada kepada penyokong, orang awam dan termasuk calon, jadi janganlah oleh kerana kita ada apa-apa unsur di sana, saya bukan ahli politik,” kata ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keselamatan Muhammad Sanusi dan calon lain yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini adalah terjamin.

Ini kerana Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu mempunyai pengawal keselamatan sendiri iaitu seorang anggota polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pemimpin itu.

Razarudin berkata, justeru keselamatan calon yang bertanding bagi mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri sepanjang kempen pilihan raya ini adalah terjamin.

“Insya-Allah, kalau ada ancaman (kepada Muhammad Sanusi), anggota ini akan memaklumkan kepada Ketua Polis Kedah (Datuk Fisol Salleh).

“Pada masa sama, sekiranya ada mana-mana calon berasa tidak selamat semasa berkempen sila buat laporan dan kami akan siasat,” katanya kepada Bernama.

BBerkaitan

Latest articles