KUALA LUMPUR: Kosovo tidak akan melupakan jasa Malaysia yang banyak membantu republik itu ketika melalui detik sukar, termasuk menjadi antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaannya pada tahun 2008.
Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu, berkata pengiktirafan awal oleh Malaysia membawa makna mendalam kepada rakyat Kosovo dan lebih daripada sekadar tindakan diplomatik.
“Ia membawa harapan dan solidariti. Ia menyuntik kepercayaan terhadap masa depan rakyat kami, dan atas segala sumbangan itu, penghargaan kami kepada Malaysia tidak akan pernah luntur.
“Hari ini, kita bukan hanya menoleh ke masa lalu, tetapi turut melihat ke hadapan dengan matlamat yang jelas dan semangat tinggi dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke Malaysia.
Menurut Osmani, beliau dan Anwar turut membincangkan pelbagai pendekatan baharu untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala antara Kosovo dan Malaysia, merangkumi bidang diplomatik, ekonomi dan sosial.
“Kami mengulangi komitmen terhadap hubungan diplomatik yang lebih kukuh, kerjasama ekonomi yang lebih erat serta pembabitan bermakna dalam bidang-bidang berkepentingan bersama,” katanya.
Osmani turut menyifatkan kunjungan ke Malaysia sebagai satu penghormatan besar dan detik penting dalam sejarah hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Dari segi ekonomi, beliau berkata kedua-dua negara bersetuju mengenai keperluan memperluaskan perdagangan serta menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam sektor utama yang berpotensi tinggi.
“Terdapat banyak ruang dan peluang – dari sektor pertanian ke tenaga, teknologi hingga ke industri halal. Kita harus mendekatkan hubungan perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membuka laluan kepada potensi baharu,” katanya.
Lawatan rasmi Osmani ke Malaysia mencerminkan kesungguhan Kosovo dalam memperkukuh hubungan luar dan membina jalinan kerjasama strategik dengan negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia.