KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini dimaklumkan, Allahyarham Zara Qairina Mahathir dipercayai kali terakhir dilihat berada di tandas tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan berkenaan pada 16 Julai lalu.
Pendedahan itu dibuat oleh Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus, ketika memberi keterangan berhubung simulasi insiden yang dijalankan.
Menurut beliau, keputusan melakukan ujian jatuhan patung dari tingkat tiga dibuat selepas menerima taklimat daripada pegawai penyiasat kes, Inspektor Wong Yew Zhung, yang mendapati melalui keterangan saksi, lokasi terakhir mangsa dipercayai berada di tandas berhadapan koridor tingkat berkenaan.
Maidon turut menjelaskan, simulasi itu dijalankan pada jam 3 pagi bagi menepati masa sebenar kejadian. Namun katanya, pencahayaan ketika eksperimen tersebut mungkin lebih terang berbanding keadaan ketika insiden berlaku.
Dalam prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, Maidon ditanya mengenai keperluan simulasi itu disemak oleh pakar bebas atau pakar biomekanik.
Bagaimanapun beliau menegaskan, perkara itu tidak dilakukan kerana tiada arahan daripada pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut mengakui dirinya bukan pakar dalam bidang rekonstruksi atau biomekanik, sebaliknya hanya menyediakan laporan siasatan di tempat kejadian.
“Sekiranya diperlukan, ia tertakluk kepada arahan pegawai atasan untuk melibatkan pakar bebas,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau dan pasukannya hanya membuat ukuran jarak jatuhan patung ke dinding terdekat di tingkat bawah, manakala siasatan lain seperti kesan cap jari, tapak kaki dan tompokan darah telah dilakukan lebih awal oleh pegawai forensik, Inspektor Alif dari IPK Sabah.