KUALA LUMPUR: Pembukaan Pusat Hemodialisis Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Taman Jenderam Damai, Dengkil diharap mampu memberi manfaat rawatan kepada ahli-ahli yang memerlukannya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut menzahirkan penghargaan kepada Koperasi PDRM Berhad kerana prihatin dan cakna tentang keperluan semasa warga pasukan yang memerlukan bantuan rawatan.
Menurutnya, pembukaan Pusat Hemodialisis yang juga cawangan pertama ini adalah hasil kerjasama Syarikat Sinar Hemodialysis Sdn Bhd.
“Pusat hemodialisis yang telah memulakan operasinya sejak 2 November tahun lalu ini bukan sahaja dapat memberikan manfaat rawatan yang besar kepada ahlinya, malah kepada masyarakat yang tinggal berdekatan.
“Besarlah harapan saya agar Koperasi PDRM dapat membuka lebih banyak lagi cawangan Pusat Hemodialisis dan tidak hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang sahaja,” katanya.
Beliau yang juga merangkap Yang Dipertua (YDP) Koperasi PDRM Berhad berkata, diharap jumlah mesin dialisis di pusat ini dapat ditambah dari semasa ke semasa bagi memenuhi permintaan rawatan dialisis yang semakin meningkat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, Pengarah Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Shaiful Ibrahim dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Efendee O P Andu.