ALOR SETAR: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam yang berlaku bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, anggota berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 5 Mac lalu.
Menurutnya, anggota yang bertugas dalam unit perisikan sempadan itu bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman terhadapnya berakhir semalam.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan individu yang dikaitkan dengan sindiket terlibat dalam kejadian berkenaan, malah dipercayai pernah mengambil dadah bersama mereka.
“Maklumat juga menunjukkan suspek berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku,” katanya.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing mendapati anggota terbabit positif dadah jenis ketamin, namun penahanannya bukan berkaitan kesalahan dadah, sebaliknya bagi membantu siasatan kes tembakan tersebut.
Dalam masa sama, polis akan memohon perintah bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan suspek memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.
Adzli berkata, pihaknya turut akan mendapatkan kerjasama pegawai pemerintah anggota terbabit bagi menentukan sama ada tindakan menahan kerja perlu diambil bagi mengelakkan kebocoran maklumat atau gangguan terhadap siasatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek merupakan antara 11 individu yang telah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menyalurkannya secara sulit kepada pihak polis, termasuk terus kepada saya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi, 25 Februari lalu, sebuah Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir dipercayai ditembak sebanyak dua das oleh individu tidak dikenali.
Mangsa bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.










