Kontroversi “Zumba ‘Back To School’, JAIS Dan Polis Jalan Siasatan

SHAH ALAM: Pihak berkuasa agama Selangor kini menjalankan siasatan terhadap satu aktiviti senaman aerobik di tempat awam yang didakwa mengandungi unsur tidak sopan sehingga boleh mencemarkan imej agama Islam.

Insiden yang dipercayai berlaku di Bukit Badong, berhampiran Shah Alam itu mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman video berkenaan tular di aplikasi TikTok sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan dijalankan sebaik menerima maklumat mengenai video tersebut yang memaparkan peserta berpakaian tidak sesuai ketika melakukan senaman.

Menurut beliau, perbuatan itu bukan sahaja tidak beradab, malah mengandungi elemen yang boleh ditafsirkan sebagai menghina agama Islam jika dilakukan secara terbuka di tempat awam.

“JAIS memandang serius perkara ini dan siasatan sedang dijalankan termasuk mengenal pasti lokasi sebenar kejadian, pihak penganjur serta individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menegaskan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap peraturan dan sensitiviti agama.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline JAIS di 1800-88-2424.

Terdahulu, tular beberapa tangkap layar di TikTok memaparkan sekumpulan wanita yang didakwa berpakaian tidak sopan ketika menyertai aktiviti senaman tersebut.

Dalam perkembangan sama, seorang wanita tampil di TikTok memohon maaf atas penyertaannya dalam aktiviti zumba itu yang memaparkan keadaan “bertudung tetapi tidak berkain”.

Menurutnya, kejadian itu berlaku secara spontan dan pihak penganjur tidak mengetahui perkara tersebut lebih awal.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Selangor, Azaharudin Tajudin mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hasil siasatan awal mendapati program senaman itu bertemakan ‘Back To School’. Salah seorang peserta menanggalkan kain sekolah yang dipakai bagi memudahkan pergerakan semasa bersenam,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles