Konstabel Parah Ditembak, Ditikam, Polis Jumpa Mayat Wanita Dalam Kereta Suspek

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Konstabel cedera selepas ditembak dan ditikam ketika cuba menahan seorang suspek di kawasan ladang kelapa sawit, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, insiden berlaku sekitar jam 1.30 pagi ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Pulai mengejar sebuah kereta mencurigakan yang dikesan di Taman Desa Pakatan.

“Kereta itu berjaya dikesan semula di kawasan ladang kelapa sawit sebelum berlaku pergelutan antara salah seorang anggota dan suspek. Suspek kemudian merampas pistol milik mangsa, menembak serta menikamnya sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa berusia 26 tahun kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh akibat kecederaan di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Polis yang memeriksa kenderaan suspek terkejut apabila menemui mayat seorang wanita yang masih belum dikenal pasti identitinya di bahagian tempat duduk belakang.

“Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti serta punca kematian wanita berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api. Usaha memburu suspek giat dijalankan,” jelas Noor Hisam.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles