Johor Bahru — Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd yang diberi kepercayaan melaksanakan Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Cluster 18, di mana projek ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperluaskan infrastruktur digital negara.
Projek yang memperkukuh liputan telekomunikasi 4G di daerah Mersing dan Kluang, Johor ini menyokong aspirasi negara untuk merapatkan jurang digital dan meningkatkan kesalinghubungan komuniti luar bandar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd, Ahmad Fahman Ismail Hadi Tang, transformasi digital adalah pemacu utama evolusi ekonomi dan kemajuan negara.
“Penguasaan transformasi digital memainkan peranan penting dalam memacu perubahan ekonomi dan pembaharuan negara. Ini adalah permulaan era digital yang mengubah landskap masyarakat menjadi lebih maju dan kompetitif,”
Menurutnya, menara telekomunikasi yang dibangunkan di Mersing serta beberapa lokasi tambahan di Kluang dijangka membawa kesan besar kepada kesalinghubungan digital di Johor.
Beberapa lokasi tambahan turut dibangunkan di tanah persendirian dan kawasan di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Johor bagi memperluaskan lagi liputan projek ini.
Pada November tahun lalu, semua lokasi ditetapkan sudah diserahkan, menandakan kejayaan pelaksanaan projek transformasi digital ini.
“Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd terus komited dalam menyokong agenda digital negara serta memastikan masyarakat mendapat akses telekomunikasi yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebanyak 107 menara telekomunikasi berteknologi tinggi telah dibangunkan di Johor di bawah fasa pertama inisiatif JENDELA.
Pengarah MCMC Johor, Nurzie Ibrahim, memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, 91 menara telah beroperasi sepenuhnya manakala 16 lagi dijangka beroperasi secara berperingkat menjelang suku ketiga tahun ini.
“Dengan infrastruktur canggih dan perkhidmatan bertaraf tinggi, kita dapat memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pembinaan menara ini telah diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan pada suku keempat tahun 2024.
Sebagai sebahagian daripada pencapaian ini, Majlis Pemuktamadan Penyerahan 107 Menara Telekomunikasi di bawah Projek JENDELA Fasa 1 telah berlangsung di Holiday Inn, Johor Bahru baru-baru ini.