Konon Rawat Gangguan Mahkluk Halus, Lelaki Mengaku Tak Bersalah Rogol Anak Tiri

KUALA LUMPUR: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini kerana merogol anak tirinya, dalam kejadian tahun 2021.

Dia yang dituduh mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 17 tahun, dalam bilik di rumah ibunya, 11.30 malam, pada 2021.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 30 tahun serta 10 kali sebatan.

Manakala ibu kandung mangsa pula mengaku salah di mahkamah yang sama, kerana bersubahat dengan suaminya merogol anak kandungnya kononnya mahu merawat mangsa diganggu makhluk halus, pada tarikh dan masa yang sama.

Menurut Berita Harian, suri rumah berusia 41 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376B kanun sama dan mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Seksyen 109 memperuntukkan hukuman sama bagi kesalahan dikenakan sekiranya tiada peruntukan dinyatakan, manakala Seksyen 376B, penjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Serentak dengan itu, mahkamah menetapkan 30 Jan untuk menjatuhkan hukuman terhadap wanita itu, selain sebutan semula kes, serahan dokumen dan juga laporan perubatan berkaitan kes suaminya.

Mahkamah juga memutuskan reman terhadap kedua-dua tertuduh dilanjutkan mengikut Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah.

BBerkaitan

Latest articles