Konflik Gaza Melampaui Batas Perikemanusiaan, Lebih Ramai Rakyat Dibunuh Selepas Tamat Tempoh Gencatan

KUALA LUMPUR: Penamatan tempoh gencatan senjata sebenarnya membuka peluang kepada rejim Israel untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, demikian kegusaran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini susulan kebenaran yang diberikan pihak Israel untuk menguatkuasakan gencatan senjata selama empat jam sehari bagi membolehkan orang awam berpindah ke tempat selamat.

“Namun, sebaik sahaja gencatan senjata berakhir, pembunuhan diteruskan dan orang awam yang bukan pejuang pembebasan dibunuh beramai-ramai, dibom dan diletupkan sehingga hancur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Dr Mahathir menempelak sikap dingin dan berpeluk tubuh negara-negara bertamadun terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

Lebih kesal, mereka memberi sokongan moral dan material seperti senjata, risikan dan dana kepada Israel.

“Manusia jenis apakah mereka ini?

“Negara-negara bertamadun telah mencapai kejayaan-kejayaan besar termasuk menghantar manusia ke bulan.

“Namun, mereka gagal menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dan anak-anak mereka,” jelasnya.

Dr Mahathir turut menempelak pihak yang berjuang untuk hak haiwan tetapi pada masa yang sama membiarkan sahaja rakyat Palestin didera, diseksa dan dibunuh selama lebih 70 tahun.

“Kita juga bimbang tentang isu kemiskinan dan gelandangan tetapi kita melihat sahaja rumah rakyat Palestin dirobohkan, penduduk diusir dari kampung dan rumah-rumah diratakan bersama penghuninya sekali,” katanya.

Beliau menyifatkan konflik di Gaza telah melanggar segala batasan perikemanusiaan, moral dan nilai di mana sifat angkuh, keji, kejam dan tidak bertamadun dipertontonkan oleh rejim Zionis untuk tatapan dunia.

BBerkaitan

Latest articles