KUALA LUMPUR: Setiap jentera Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan fokus untuk membawa pulang kemenangan gabungan itu dalam PRU15 19 November ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri juga berkata konflik kecil yang mungkin timbul di sesetengah bahagian akar umbi malah Parlimen, menjelang Hari Penamaan Calon esok adalah perkara yang biasa terjadi.
“Ini merupakan perkara biasa setiap kali pilihan raya, negeri ke PRK ke, Pilihan Raya Umum sekali pun, memang akan ada isu yang timbul di kawasan Parlimen dan sebagainya,” katanya selepas membuat kunjungan dan melihat persediaan di Pusat Operasi BN Bera di Padang Luas, hari ini.
Terdahulu Ismail Sabri diminta mengulas berkenaan penyokong penyandang kerusi BN yang terkesan selepas pemimpin mereka digugurkan daripada pencalonan PRU15.
Menjawab soalan itu, Ismail Sabri berkata, dalam apa situasi pun parti adalah penting.
“Saya pernah sebut dahulu, tidak semua yang akan bertanding, walaupun di setiap kawasan Parlimen semuanya layak untuk bertanding. Tapi yang terpilih hanya seorang sahaja.
“Oleh itu, kita fokus kepada untuk memastikan kemenangan parti,” ulasnya.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan provokasi yang boleh menimbulkan perbalahan ketika Hari Penamaan Calon esok.
Ribuan penyokong semua parti yang bertanding pastinya akan berkumpul esok untuk menghantar calon wakil rakyat mereka, justeru katanya, semua harus menjaga batas dan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Jadi esok hanyalah hari pertama penamaan calon. Janganlah hanya disebabkan provokasi tersebut, berlaku pergaduhan dan sebagainya,”katanya.