JOHOR BAHRU: Kegiatan mencurigakan seorang wanita yang menyewa bilik di sebuah rumah teres dua tingkat akhirnya terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan serbuan pada jam 2.30 pagi, hasil aduan penduduk setempat.
Menurut kenyataan JAINJ, penghuni di kawasan itu memaklumkan bahawa bilik sewaan tersebut sering menjadi lokasi keluar masuk individu pada waktu lewat malam, mencetuskan persoalan dan kecurigaan penduduk sekitar.
Ketika serbuan, rumah berkenaan gelap dan berkunci sebelum seorang lelaki berkain pelikat membuka pintu, menyangka ia hanyalah penghuni lain yang pulang tanpa kunci.
Pemeriksaan di dalam rumah dilakukan menggunakan lampu suluh sebelum penguat kuasa mengetuk beberapa pintu bilik.
Selepas hampir tujuh minit, sebuah bilik dibuka oleh seorang wanita berpakaian ringkas, manakala pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki berbungkus selimut merah di atas tilam dan enggan bangun kerana tidak berpakaian.
Penguat kuasa kemudian memberikan tuala sebelum dia diarahkan berpakaian.
Pasangan itu mendakwa mereka hanya “kawan”, namun siasatan awal menunjukkan mereka kerap bertemu di bilik berkenaan.
Lebih mengejutkan, penguat kuasa menemukan sejumlah besar kondom pelbagai jenama termasuk beberapa yang sudah digunakan berselerakan di tepi dan bawah katil.
Wanita terbabit mengakui membeli semua barangan itu dari kedai serbaneka berhampiran dan penghantaran dibuat terus ke bilik sewanya yang disewa pada kadar RM500 sebulan.
Siasatan mendapati lelaki berusia belasan tahun itu bekerja di Johor Bahru dan tinggal di rumah sewa lain kira-kira 10 kilometer dari lokasi, manakala wanita berusia 20-an turut bekerja di bandar ini.
Lelaki terbabit dipercayai hanya masuk ke bilik sewanya selepas menerima “lampu hijau” daripada penghuni lain bahawa keadaan selamat.
Kedua-duanya dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
JAINJ menegaskan pihaknya terus memantau aktiviti maksiat di seluruh negeri dan menggesa orang ramai menyalurkan aduan 24 jam menerusi talian 07-2076429.










