Kondo Mewah Pun Tak Selamat, 3 Pasangan Termasuk Janda Dicekup Khalwat

JOHOR BAHRU: Tiga pasangan termasuk seorang wanita berstatus janda ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam siri serbuan khalwat di beberapa kondominium mewah sekitar bandar raya ini, Selasa lalu.

Dalam kenyataan semalam, JAINJ memaklumkan tangkapan pertama dilakukan di sebuah kondominium mewah di Persiaran Danga Bay antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi, selepas menerima aduan awam.

Serbuan itu menahan seorang lelaki bujang berusia 30-an bersama seorang janda berusia 40-an di kediaman yang disewa wanita berkenaan.

“Lelaki itu sering berkunjung dan bermalam di situ kerana menganggap kediaman tersebut selamat daripada pemeriksaan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

Dua lagi pasangan turut ditahan di sebuah kondominium di Larkin, masing-masing berstatus bujang dan anak dara berusia lingkungan 20-an.

Mereka didapati tinggal bersama tanpa ikatan pernikahan, malah dua daripadanya bekerja di Singapura tetapi menetap di Johor Bahru.

“Serbuan ini membuktikan penguat kuasa JAINJ tetap memantau semua lokasi, termasuk kediaman mewah. Jangan sesekali menjadikan tempat sebegini sebagai ‘perlindungan’ untuk melakukan maksiat,” tegas jabatan itu.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles