ISKANDAR PUTERI: Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dirinya sedia mengambil tanggungjawab seleps dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada program pelancaran Briged MIC Johor, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata beliau bersedia berdepan dengan kesalahan itu, sambil mengakui itu antara kebimbangannya apabila menghadiri sebarang program.
“Kalau kita langgar SOP kena bayar kompaun. Inilah saya punya kebimbangan. Bila kita buat program dan benarkan program politik, ia susah nak dikawal. Jadi jika tak boleh dikawal dan melanggar SOP, mereka terpaksa berhadapan dengan kompaun.
“Saya reda jika membabitkan diri sendiri sekali pun,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran program berkenaan.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan tiga pemimpin BN yang hadir ke pelancaran Briged MIC Johor yang berlangsung petang tadi dikompaun kerana melanggar SOP.
Menterinya, Khairy Jamaluddin, mengarahkan pegawai KKM Putrajaya mengeluarkan kompaun itu terhadap Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein serta Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Program pelancaran Briged MIC Negeri Johor diadakan di Stadium Tertutup Educity bermula jam 5 petang tadi sebelum berakhir pada jam 7.15 malam tadi, dengan kehadiran lebih 3,000 ahli MIC.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, apabila datang ke satu-satu program, beliau sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku.
“Sebab itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini kita kena ambil kira kelonggaran yang diberi. Masalahnya kita susah nak kawal (jika program/kempen dibenarkan).
“Ini akan diambil kira Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti apabila nak menentukan SOP masa PRN Johor.
“Tapi bagi diri saya, jika ada kesalahan dalam pelanggaran SOP kali ini, nak ambil tindakan, saya alu alukan. Salah tetap salah,” katanya.