Tular di media sosial sehingga semalam adalah satu klip video berdurasi 58 saat yang menunjukkan sekumpulan pekerja sebuah kurier melakukan mogok dengan membaling barangan pelanggan.
Dipercayai kejadian itu berlaku selepas pekerja-pekerja berkenaan tidak berpuas hati terhadap pengurusan syarikat berkaitan bayaran komisen mereka, yang dikatakan diturunkan dari RM1 kepada 30 sen bagi setiap parcel.
Mereka juga dikatakan berang dengan pembayaran elaun kerja lebih masa memandangkan mereka mengangkat barang dari lori sampai tengah malam setiap hari.
Bagaimanapun lokasi dan tarikh kejadian tersebut tidak dapat dipastikan.
Di dalam video yang tular itu dapat dilihat bagaimana pekerja syarikat kurier berkenaan membaling barangan kiriman pelanggan sambil bersorak sebagai tanda protes kepada majikan mereka.
Rata-rata pengguna laman sosial di Twitter dan Facebook meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap tindakan itu.
Mereka berpandangan tidak sepatutnya barangan pelanggan menjadi mangsa ketidapuasan hati pekerja terhadap pengurusan syarikat.