Kod Merpati, Layanan VIP Untuk Najib Dakwaan Karut

KUALA LUMPUR: Peguam bela kepada Datuk Seri Najib Razak menolak spekulasi pelbagai pihak, terutama pembangkang kononnya bekas perdana menteri itu diberi layanan istimewa di Penjara Kajang dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) ketika menjalani hukuman penjara ketika ini.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut menepis penggunaan kod Merpati merujuk kepada Najib sebagai sangat mengarut.

”Sebenarnya apa itu kod Merpati? Ini sangat mengarut sama sekali. Saya tidak faham langsung. Jika betul Najib ada terima layanan seperti itu, sudah tentu beliau akan diberi bilik khas untuk makan tengah hari di mahkamah ketika prosiding berhenti rehat.

“Sangat mengarut. Ia adalah bilik standard (di HRC) bagi sesiapa sahaja yang memerlukan rawatan dari penjara,” katanya yang menjawab soalan media ketika ditanya mengenai spekulasi layanan yang diterima Najib yang ketika ini sedang menjalani hukuman di penjara.

Menurut Muhammad Shafee, beliau juga tidak dapat melawat Najib pada hari Sabtu dan Ahad kerana Jabatan Penjara Malaysia tidak akan memberi pengecualian banyak kali.

Ini bermakna, proses berurusan dengan Najib sama seperti banduan-banduan lain.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan, Najib terpaksa menjalani rawatan fisioterapi di HRC berikutan keadaan kesihatannya yang mengalami masalah sakit lutut dan sakit belakang yang dihadapinya ketika menjadi Perdana Menteri lagi.

Disebabkan masalah kesihatan itu, para doktor telah mengesyorkan Najib menerima rawatan di HRC kerana di HKL sahaja tidak memadai.

Minggu lepas, kecoh di laman sosial tentang dakwaan layanan istimewa kepada Najib antaranya membabitkan pengubahsuaian ruang penjara dan rancangan untuk membawanya ke HRC bagi memudahkan beliau menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).

Beliau dimasukkan ke HKL dua minggu lalu kerana menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.

Dalam pada itu Najib yang hadir di mahkamah hari ini kelihatan lebih sihat dan ceria serta melemparkan senyuman walaupun dikawal ketat oleh pegawai penjara.

BBerkaitan

Latest articles