Kobe Chong, Bintang Muda Dunia Tagih Peluang Baru Di Malaysia

Di usianya yang muda, pemain bola sepak berusia 18 tahun ini telah merasai pelbagai cabaran dan peluang terbaik untuk dirinya.

Pernah menjadi pemain futsal paling berbakat di United Kingdom, menyertai West Brom pada usia sembilan tahun kemudian ke AWOL untuk mendapatkan tempat di Akademi Sukan Lisbon yang melahirkan Cristiano Ronaldo, begitu juga menyertai Pasukan Serie A Cagliari, selain menjadi pemain muda terbaik bagi Juventus, AC Milan dan Inter Milan.

Tidak seperti remaja yang lain, peluang yang luar biasa ini berjaya dimiliki Kobe Jae Chong dalam usia seawal dua tahun.

Namun entah dimana silapnya, di sebalik kejayaan tersebut kelibatnya tetap tenggelam.

“Selepas semua ini, saya tidak pasti bagaimana saya seperti hilang dari radar,” ujar Kobe dalam wawancaranya bersama The Sun UK.

Kobe, kini bangkit mencari semangat baru dan mahu terus dikenali selepas hilang kontrak dengan Brentford, apatah lagi dengan prestasi merudum Leicester City dan Wolves.

Penglibatan awal Kobe dalam sukan bola sepak bermula dari didikan bapanya, yang merupakan bekas pemain bola keranjang profesional Birmingham Blues yang mendaftarkan Kobe ke Strike Soccer Schools pada usia dua tahun dan menghadiri kem Futsal Brazil pada usia enam tahun.

“Bapa bersama dengan saya dalam setiap kejayaan yang saya raih. Sepanjang minggu berlatih di sekolah futsal. Dia menyuruh saya berlatih setiap hari pada jam 6 pagi sebelum ke sekolah dan melakukan 1,000 tendangan aneh di dapur.

“Dia memaksa saya melakukan semua ini, namun akhirnya ia memberi manfaat kepada saya berbanding kanak-kanak lain,” kata Kobe.

Kelebihan ini membolehkan Kobe menyertai West Brom, dengan menyifatkan peralihan sukan futsal kepada bila sepak sebagai ‘gila’.

“Kanak-kanak lain tidak mempunyai kemahiran teknikal seperti saya. (Untuk saya) ia tidak masuk akal, berbeza. Namun saya tidak mengatakan bahawa saya jauh ke depan dari mereka, sebaliknya saya berbeza”.

Dua tahun berlalu dan prestasi Kobe semakin memuaskan. Bagaimanapun, bapanya mempunyai perancangan lain bersama Akademi Sukan Lisbon.

“Dalam usia begini, keputusan bukan di tangan anda.

“Jika saya tahu apa yang akan berlaku sekarang, saya akan cuba mengelakkannya, malah jika bapa diberikan nasihat yang betul, pastinya dia akan meminta Akademi Sukan Lisbon menghubungi West Brom memberitahu saya tidak lagi mengikuti latihan.

“Bapa menganggap mereka tidak serius.” katanya.

Jelas pemain posisi tengah penyerang ini lagi, keputusan bapanya itu dipengaruhi oleh keberadaan Ronaldo apatah lagi ia sebuah akademi sukan terbaik di dunia.

Sebaliknya, Kobe menyatakan keputusan yang tidak mengambil kira keadaan dirinya memberi pelbagai kesan di masa akan datang.

Akhirnya, dia gagal mempamerkan prestasinya dan tindakan kembali semula ke West Brom mengundang padah apabila Kobe dikeluarkan dari pasukan malah dituduh menyalahgunakan keistimewaannya.

Sekali lagi, Kobe menyertai Akademi Sukan Lisbon pada usia 15 tahun selepas bersama Kidderminster dalam liga Perdana Inggeris.

Cabaran lain pula menanti Kobe di Akademi Sukan Lisbon kerana perlu berlatih pada suhu 35 darjah Celcius setiap hari dan menyebabkan Kobe putus asa.

Kekecewaan ini terubat apabila dirinya diberikan peluang menyertai Cagliari dan dilatih bekas pemain hebat bola sepak, David Suazo dan menjanjikan kerjaya yang luar biasa untuknya di masa hadapan.

Kobe kemudiannya pulang ke England, menamatkan pembelajaran Tahun 10, tidak mengambil GCSE demi menandatangani kontrak bersama Cagliari.

Kobe menghabiskan masa selama tiga tahun di kelab berkenaan dengan mewakili pasukan U16 dan U17.

Bagaimanapun, Kobe berdepan dengan masalah pelepasan antarabangsa malah dilayan dengan teruk hanya kerana dirinya dianggap ‘orang asing’ dan mempunyai darah campuran Jamaica-Malaysia.

Kobe memutuskan untuk pulang ke tanah airnya pada usia 18 tahun menyebabkan dia terpaksa berjuang bersendirian terhadap minatnya kepada bola sepak.

“Saya akhirnya sedar, Itali bukanlah apa yang saya mahukan. Saya perlu berada di England,” luah Kobe.

Kobe kemudiannya menyertai Non-League Gems dan membuka peluang buat dirinya untuk menghadiri percubaan dengan Huddersfield, Middlesbrough dan Brentford – yang bagaimanapun menarik kembali kontrak di saat-saat akhir.

Mengakui dirinya amat kecewa dengan kejadian tersebut, namun Kobe kembali bangun, bertekad mahu menjadi seperti Jadon Sancho milik Malaysia dan bekerja keras setiap hari membuktikan kebolehannya.

“Saya sentiasa mengikuti Jadon Sancho.

“Tidak ramai bintang bola sepak Malaysia di negara ini dan meminta mereka menginspirasikan kisah saya adalah luar biasa.

“Bola sepak adalah sesuatu yang misteri, anda boleh bermain di satu kelab yang hebat namun kemudiannya anda hilang.

“Saya yakin saya boleh pergi jauh dalam sukan ini dan membina nama saya,” kata Kobe dengan penuh yakin.

Jun lalu, Kobe menyatakan minatnya menyertai pasukan Harimau Malaya.

 

BBerkaitan

Latest articles