Kluster Mahkamah: Tun M, Muhyiddin Dah Tak Ada Modal?

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Noh Omar menyelar sikap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berterusan menggunakan golongan ‘kluster mahkamah’ bagi menyerang UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Noh membangkitkan persoalan mengapa ‘kluster mahkamah’ sering diulang dan disebut seolah-olah ia amat menghantui Pengerusi Parti Pejuang dan Presiden Bersatu itu.

“Tanpa hilang rasa hormat saya kepada Tun M dan Muhyiddin, saya tak setuju dengan cara mereka menggunakan taktik menyerang ‘kluster mahkamah’ menjelang PRN Johor.

“Kes mahkamah yang melibatkan pemimpin UMNO masih berjalan dan tiada satu kes pun ditutup, walaupun jawatan Perdana Menteri daripada UMNO.

“Dah tak ada modal? Nak kata kluster mahkamah, kes ini masih berjalan dan tidak ada campur tangan politik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Umtuk rekod kedua-dua figura Dr. Mahathir dan Muhyiddin menggunakan taktik menyerang kluster mahkamah untuk memastikan Barisan Nasional (BN) tidak menang di Johor.

Dr. Mahathir dalam kenyataannya mendakwa, PRN kali ini merupakan langkah untuk memperkukuhkan kedudukan kluster mahkamah dan golongan kleptokrat dalam UMNO.

Katanya, PRN Johor itu telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari UMNO.

Sementara itu, Muhyiddin pada Jumaat lalu, menyatakan pendiriannya bahawa satu-satu cara untuk tidak memberikan kluster mahkamah kembali berkuasa adalah dengan tidak mengundi BN pada PRN Johor ini.

Beliau berkata, jika kemenangan diberikan kepada BN pada PRN Johor, ‘kluster mahkamah’ akan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, kemungkinan besar kedua pemimpin itu takut dengan populariti bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang mampu menarik undi kepada UMNO dan BN.

BBerkaitan

Latest articles