PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya rokok elektronik atau vape, sebagai langkah tegas melindungi kesihatan awam dan membendung ketagihan nikotin dalam kalangan orang belum dewasa (OBD).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata cadangan itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen hari ini, susulan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Kita tidak menolak untuk menimbang pengharaman penuh vape, khususnya jika ia terbukti memberi impak besar terhadap kesihatan remaja.
“Akta ini adalah titik tolak penting dalam memperkukuh kawalan terhadap semua bentuk produk merokok,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Dzulkefly, Akta 852 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024, di mana semua produk tembakau dan vape wajib didaftarkan sebelum boleh diimport, dikilang atau diedarkan di Malaysia.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu Jawatankuasa Kepakaran telah ditubuhkan bagi menilai risiko kesihatan berkaitan produk vape dan mencadangkan kawal selia yang lebih ketat.
“Kerjasama rentas agensi juga sedang diperkukuh dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, MITI, KPDN dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pelaksanaan Akta 852 tidak bersifat silo,” tambahnya.
Setakat ini, lebih 6,500 pegawai penguat kuasa telah diberi kuasa untuk turun ke lapangan bagi menjalankan operasi berkaitan pematuhan akta tersebut.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata terdapat negeri-negeri yang kini sedang mempertimbangkan larangan pelesenan premis jualan vape, dan tindakan itu disambut baik oleh KKM sebagai langkah proaktif mengawal penyebaran produk merokok dalam kalangan remaja.
“Kami menyokong penuh inisiatif ini. Dengan sokongan semua pihak, termasuk Ahli Parlimen, saya yakin Akta 852 mampu menjadi benteng utama melindungi generasi muda dari bahaya nikotin,” katanya.