KKM Periksa Sistem Pendawaian Hospital Seluruh Negara

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini memberitahu kementeriannya akan memberi keutamaan melihat semula sistem pendawaian di hospital seluruh negara.

Langkah ini, ujarnya, bagi mengelakkan kejadian kebakaran seperti yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, semalam.

“Kita memberi keutamaan untuk melihat sistem pendawaian di seluruh negara dan kita dah lulus beberapa peruntukan penting untuk kita lihat perkara itu… ada beberapa keutamaan yang kita akan berikan,” katanya yang ditemui pengamal media selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Chini, Pekan, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, satu kejadian kebakaran dilaporkan berlaku di di Wad Perubatan Perempuan 1, HSA.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas petugas di hospital itu.

Untuk rekod hospital yang sama pernah terlibat dalam kejadian kebakaran pada 2016 melibatkan tingkat 2 unit rawatan rapi (ICU) selatan yang menyebabkan enam pesakit maut.

Ketika ditemui pemberita, Adham mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan untuk membiayai kos membaik pulih wad HSA yang terbakar itu.

“Kalau mengikut proses KKM mungkin mengambil masa yang lama dan mengikut titah Tuanku, 3 pihak, iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya dan KKM akan duduk serta menyiapkan pelan yang terbaik.

“Saya sendiri melawat kawasan itu semalam dan ada sedikit sebanyak yang perlu dibuat. Keseluruhan kompleks itu perlu dilakukan pendawaian semula dan tambah baik ruang penempatan pesakit,” katanya.

Dalam muatnaik di Facebook, Sultan Iskandar berkenan untuk membiayai kos membaik pulih wad yang terbakar dan akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja pembaikan dimulakan segera.

Katanya, segala kos berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

BBerkaitan

Latest articles