KKM Minta Orang Ramai Beri Ruang, Tunggu Laporan Dakwaan Bayi Ditahan

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berkenaan isu tular membabitkan mayat bayi lelaki ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta di Klang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedang mendapatkan laporan penuh mengenai kes tersebut.

Sehubungan itu beliau menasihatkan agar masyarakat tidak membuat apa-apa andaian tentang perkara itu.

“Ada dakwa dakwi di sana. Jadi saya percaya kita bersabar dalam mendapatkan fakta yang sebenarnya sebelum membuat apa-apa andaian yang mungkin kita akan kesal kemudian.

“Jadi saya akan menantikan dengan sabar untuk mendapatkan dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuklah Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) yang turun mendekati beberapa pihak terbabit.

“Saya mahukan perkara ini terus diambil dengan penuh ihsan dan empati kita, itu yang utamanya,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu jenazah bayi yang dinamakan Muhammad Adham Mikail menjadi isu tular selepas mangsa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta kerana bapanya dipercayai tidak mempunyai wang untuk menuntut mayat tersebut.

Isu itu menjadi tular selepas didedahkan pengguna Facebook Mr Wan Chai Official, yang juga pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.

Wan Cai memaklumkan, UKVJ menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi tersebut kerana jasad anak kecil itu beku sepenuhnya sehinggakan terpaksa menggunakan air panas untuk melembutkan semula tubuh dan sendinya.

Difahamkan, Muhammad Adham Mikail yang dilahirkan pada 24 November lalu mengalami sindrom siklop iaitu lahir dengan hanya satu mata, tiada hidung dan tanpa dubur.

Hari ini, Hospital Bersalin Razif (HBR) menerusi kenyataan menafikan dakwaan menahan jasad bayi itu.

Mereka mendakwa hospital telah membenarkan keluarga pesakit menuntut dan menguruskan pengebumian terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran sebanyak RM2,480.

Hospital juga mendakwa perbincangan turut dibuat antara kedua-dua pihak sama ada ingin melibatkan polis atau sebaliknya bagi membantu menguruskan pengebumian, tetapi pesakit merayu untuk tidak berbuat demikian.

BBerkaitan

Latest articles