KKM Jawab Respon KJ Tak Perlu Booster Adalah Video Lama

KUALA LUMPUR: Tular di media sosial sejak dua hari ini adalah video reaksi daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berhubung dos ketiga (booster) tidak perlu diambil bagi mereka yang sihat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata rakaman video tersebut adalah pada 20 September 2021 iaitu ketika Khairy dalam rangka tinjauan perkhidmatan saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Pada waktu itu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos pertama dan dos kedua masih giat dilaksanakan.

“Kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah 79.6 peratus, masih belum mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa.

“Pada masa sama, aktiviti rentas negeri masih belum dibenarkan manakala aktiviti keluar masuk negara juga masih dikawal ketat,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook KKM.

Malah ketika kenyataan itu dikeluarkan juga, pemberian booster secara menyeluruh belum lagi bermula pada September 2021.

“Pemberian dilaksanakan secara berperingkat dengan memberikan keutamaan pada ketika itu kepada golongan rentan terdiri dari warga emas, mereka yang ada ko-morbid dan golongan yang terdedah kepada isiko jangkitan.

“Hanya setelah majoriti golongan tersebut telah menerima booster, barulah vaksinasi booster dibuka kepada populasi awam yang layak,” kata kenyataan itu lagi.

Mengambil kira situasi negara dalam pandemik COVID-19 pada hari ini, KKM berkata, pemberian booster kini diperlukan berdasarkan perkembangan semasa pemantauan keberkesanan vaksin serta cabaran yang dihadapi dengan kemunculan varian-varian baru virus COVID-19.

Begitu juga telah banyak negara yang menawarkan booster kepada populasi dewasa mereka seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, dan Singapura.

BBerkaitan

Latest articles