KKM Jamin Rawatan Terbaik Diberi Kepada Mangsa Tikaman Pesakit Mental

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan memastikan lelaki yang cedera selepas ditikam seorang pesakit mental di Hospital Selayang, dua hari lalu diberikan rawatan terbaik.

Menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, beliau bersama Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah Hospital Selayang Dr Afidah Ali serta pasukan doktor yang merawat mangsa telah bertemu keluarga mangsa.

“Ini bagi menjelaskan keadaan yang berlaku termasuk usaha-usaha yang dilakukan dalam memastikan pesakit diberikan rawatan yang terbaik,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Begitu juga dengan status terkini pesakit juga akan dilaporkan dari semasa ke semasa kepada keluarga dan insiden sedang disiasat pihak berwajib.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapan di Twitter berkata kejadian tikaman itu dilakukan oleh seorang pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata kementerian akan mengkaji semula prosedur operasi standard bagi pesakit yang mengalami gangguan mental.

“Ia boleh berlaku di mana-mana sahaja. Kita perlu melindungi pesakit di Jabatan Kecemasan dan klinik kami,” katanya.- BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles