KKM Beri Jaminan Stok Vaksin Influenza Mencukupi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa kekurangan stok vaksin influenza di pasaran tempatan hanyalah bersifat sementara, susulan peningkatan mendadak dalam permintaan orang ramai terhadap vaksin tersebut.

Menurut KKM, situasi ini berlaku selepas kematian mengejut pelakon Taiwan, Barbie Hsu, akibat pneumonia yang dikaitkan dengan influenza.

Insiden itu mengejutkan masyarakat Asia Timur, sekaligus mendorong peningkatan permintaan terhadap vaksin influenza.

“Trend ini menyebabkan stok vaksin influenza dalam pasaran tempatan mengalami kekurangan buat sementara waktu. Namun, KKM ingin menegaskan bahawa bekalan untuk jangka sederhana adalah mencukupi bagi pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada, termasuk untuk jemaah haji dan umrah,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan bekalan vaksin di pasaran swasta tempatan kembali stabil dalam masa terdekat.

KKM turut memetik anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan bahawa influenza bermusim menyebabkan antara 290,000 hingga 650,000 kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Sementara itu, data dari Agensi Keterjaminan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) menunjukkan sekurang-kurangnya 18,000 kematian akibat influenza direkodkan sepanjang dua musim sejuk antara 2022 hingga 2024 di negara itu.

“Justeru, menjadi amalan lazim bagi golongan berisiko tinggi untuk menerima vaksin influenza sebelum bermulanya musim sejuk bagi mengelakkan komplikasi serius dan mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam,” tambah kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles