KK Mart UM Disimbah Cat Merah, Menteri Minta Hentikan Provokasi

KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menyeru semua pihak untuk tidak mencetuskan provokasi susulan kejadian simbahan cat merah pada pintu premis KK Mart di Universiti Malaya (UM).

Aaron menyatakan rasa kesal terhadap insiden tersebut yang berlaku hanya beberapa minggu selepas kontroversi penjualan sandwic ham dan keju, yang kini sedang disiasat oleh polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Oleh itu, saya memohon agar semua pihak tidak memburukkan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang bersifat provokatif.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab menjaga dan memelihara sensitiviti demi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara kekal terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian negara melalui tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Polis mengesahkan bahawa kejadian simbahan cat merah yang berlaku semalam sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, pihak Universiti Malaya menggesa tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menyimbah cat merah di premis KK Mart dalam kawasan kampus, untuk mengelakkan insiden serupa daripada berulang.

“UM memandang serius insiden simbahan cat yang berlaku di premis KK Mart di dalam kawasan kampus,” menurut kenyataan UM.

Premis KK Mart sebelum ini menjadi perhatian susulan kontroversi penjualan sandwic ‘ham & cheese’ yang dikatakan menggunakan logo halal secara tidak sah.

Jakim telah mengesahkan bahawa kepingan ayam dalam sandwic tersebut memiliki sijil halal, namun sandwic itu sendiri dan syarikat pengeluarannya tidak mempunyai sijil halal.

Berikutan itu, KK Mart telah menghentikan semua urusan perniagaan dengan pembekal sandwic tersebut dan menggantung bekalan produk dari Shake and Bake Cafe ke semua cawangannya.

BBerkaitan

Latest articles