KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kembali menjejakkan kaki ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pagi ini, hampir dua tahun selepas dipecat daripada parti.
Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ dilihat mengiringi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memasuki Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menghadiri persidangan sayap parti.
Turut kelihatan, seorang lagi bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Semalam, Muhamad Akmal mengesahkan kehadiran bekas Menteri Kesihatan itu dan menyifatkan KJ sebagai tokoh yang masih dihormati dalam kalangan Pemuda UMNO serta mampu memberi suntikan semangat kepada perwakilan.
Sejak dipecat pada Januari 2023, Khairy aktif melalui podcast “Keluar Sekejap” yang kini mempunyai lebih 421,000 pengikut di YouTube.
Walaupun kerap dikaitkan dengan kemungkinan kembali ke UMNO, beliau sebelum ini menegaskan tidak menyertai mana-mana parti lain atas dasar kesetiaan kepada UMNO.










