KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memulakan kerjaya barunya sebagai penyampai HotFM, seawal jam 6 pagi tadi, mengendalikan slot Bekpes Hot bersama Johan dan AG.
Fara Fauzana yang juga salah seorang penyampai segmen pagi berkenaan sedang menunaikan ibadat umrah.
Khairy atau mesra disapa KJ, berkongsi butiran peribadi termasuk latar belakang pendidikan dan karier, selain pengalaman kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November tahun lalu bersama pendengar radio stesen berkenaan.
Bahkan bekas Ahli Parlimen Rembau dan calon baru di Parlimen Sungai Buloh itu juga mengakui buntu memikirkan masa depan akibat hilang pekerjaan berikutan kalah pada PRU15.
Ini ditambah pula dengan pemecatan dirinya bersama bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuaratnya 27 Januari lalu.
“Saya ingat menang sebab apabila pergi berkempen, ramai yang ajak ‘selfie’. Rupanya, saya kalah. Menang ‘selfie’ tapi kalah undi.
“Selepas kekalahan November lalu, saya tak tahu nak buat apa… Memang ‘jammed’ sebab fikir masa depan,” katanya pada segmen Bekpes Hot di HotFM, pagi tadi.
Pengakuan ‘Menang ‘selfie’, kalah undi’ oleh Khairy pantas menarik perhatian Johan dan AG apabila masing-masing menganggap ia sebagai slogan baharu yang sesuai dipromosikan.
Terus berkongsi kisah tewas pada PRU15, Khairy menyangka, sekalipun kecundang, beliau akan diberi pencen untuk tugas menteri yang pernah digalasnya.
“Sangka saya, walaupun kalah dalam pilihan raya, saya akan dapat pencen untuk tugas-tugas menteri yang pernah saya pikul sebelum ini.
“Rupa-rupanya, saya kena tunggu hingga usia mencecah 50 tahun baru boleh dapat pencen. Sekarang, saya baru 47 tahun. Maknanya kena tunggu tiga tahun lagi.
“Disebabkan itu, saya terima tawaran untuk jadi DJ Hot FM ini,” katanya.
Menerusi segmen Siyeslah yang sebelum ini dikendalikan Fara, Khairy berkongsi maklumat ringkas mengenai otot manusia.
Ketika diusik AG apakah perasaan apabila pendengar memuji suaranya mampu ‘mencairkan’ hati pendengar, Khairy tergamam seketika.
‘Tak tahu,” jawabnya sambil tertawa.
Khabar angin KJ bakal menjadi DJ HotFM mula diperkatakan selepas Hot FM membuat tawaran kepada Khairy menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.
Media Prima Audio (MPA) kemudiannya mengesahkan Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM serta bakal mengendalikan segmen Bekpes Hot, mulai hari ini.
Khairy kemudiannya turut mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.