BENUT: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, memberi bayangan jelas bahawa beliau tidak mahu tergesa-gesa kembali ke pentas politik arus perdana, termasuk bertanding di Parlimen Johor Bahru atau Muar pada PRU16.
Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Rembau itu memilih pendekatan lebih tenang dengan bermula semula sebagai ahli biasa dalam UMNO.
“Saya minta jadi ahli biasa dulu. Yang lain kemudian. Ini perjalanan pulang ke parti, tak perlu terburu-buru,” katanya ringkas.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menghadiri majlis rumah terbuka Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan di Benut, Pontian yang turut menjadi kemunculan sulungnya dalam acara parti selepas menyatakan hasrat untuk kembali aktif dalam UMNO.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut Khairy, kehadirannya ke majlis itu bukan sekadar simbolik, malah sebagai tanda penghargaan kepada individu yang banyak membantu melancarkan proses kepulangannya ke dalam parti.
Beliau turut mendedahkan bahawa Mohd Sumali adalah antara individu penting yang mengatur pertemuan beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Beliau antara orang penting yang bawa saya pulang ke UMNO. Saya memang berterima kasih… kami dah lama kenal sejak zaman Pemuda lagi,” katanya.










