KJ Kata Zahid Ada Potensi Jadi PM Selepas PRU-16

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi bayangan bahawa Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mempunyai laluan cerah untuk menduduki kerusi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, perkembangan politik semasa menyaksikan banyak parti besar bergelut dengan konflik dalaman, namun UMNO dilihat kekal utuh dan tersusun.

Menurut Khairy, kestabilan tersebut memperlihatkan kemampuan Zahid mengurus perbezaan pendapat dalam parti, termasuk isu yang pernah dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, tanpa mencetuskan perpecahan serius.

“Beliau berjaya menguruskan perbezaan dalaman dengan baik. Berbanding parti lain, UMNO tidak menunjukkan tanda-tanda krisis dalaman yang ketara,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap (KS).

Khairy turut membandingkan situasi itu dengan parti lain, termasuk Parti Islam Se-Malaysia, yang menurutnya kini berdepan sedikit ketegangan dalaman.

Dalam masa sama, Khairy melihat kelebihan Zahid turut terletak pada pendekatan politiknya yang tidak meletakkan dirinya sebagai sasaran langsung PKR.

Beliau berpendapat Zahid berkemungkinan meneruskan kerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan menjelang PRU-16, sebelum menentukan pendirian muktamad berdasarkan keputusan pilihan raya nanti.

Langkah itu, menurutnya, membuka ruang strategik yang boleh dimanfaatkan UMNO dalam percaturan politik pasca pilihan raya.

Mengulas peluang UMNO pada PRU-16, Khairy menjangkakan parti itu berpotensi mencatat keputusan lebih baik sekiranya pilihan raya umum tidak diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Beliau malah tidak menolak kemungkinan UMNO mampu meraih kemenangan besar di kedua-dua negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Khairy mengingatkan bahawa kemenangan besar di peringkat negeri tidak semestinya menjamin dominasi mutlak di peringkat nasional.

“UMNO mungkin masih belum berada pada tahap persepsi rakyat untuk menang besar di peringkat pusat, tetapi prestasinya berpotensi lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles