KJ Jawab Anwar: “Pembukaan Semula Johor-Singapura Mesti Dapat Persetujuan Bersama”

PAGOH: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menolak dakwaan pembangkang kononnya kerajaan tidak membenarkan pengundi-pengundi Johor yang berada di Singapura untuk pulang mengundi pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini.

Beliau menegaskan keputusan untuk membuka pintu sempadan di negeri ini memerlukan kerjasama daripada negara Singapura.

”Ada kenyataan yang dibuat semalam daripada pembangkang yang kata mengapa tidak boleh buka sempadan awal.

“Pembukaan sempadan darat dengan Singapura mesti dapat persetujuan bersama antara kedua-dua negara. Kalau kita buka sempadan sendiri tak guna kerana Singapura pun kena buka juga.

“Buat masa sekarang, mereka belum sedia untuk buka sempadan darat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi walkabout bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Ismail Mohamad di FELCRA Bukit Kepong, hari ini.

Terdahulu pada semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan tindakan kerajaan yang hanya membuka pintu sempadan negara pada 1 April 2022 berbanding sebelum hari pengundian PRN Johor, 12 Mac ini.

Presiden PKR itu turut mendakwa langkah itu membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak yakin dengan pengaruh pengundi luar untuk memilih BN.

Mengulas lanjut, Khairy berkata segala keputusan untuk membuka pintu sempadan memerlukan kata putus daripada Putrajaya dan Singapura bukan sebelah pihak sahaja.

“Malah pada 1 April ini saya masih berunding dengan pihak Singapura, jadi jangan buat tuduhan seolah-olah kita tak buka sempadan sebab PRN Johor.

“Yang buat tuduhan tersebut mungkin tidak faham apa yang dia cakap. Sebab keputusan untuk buka sempadan antara Singapura dan Malaysia mesti dibuat bersama,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles