KJ Ingatkan PN, “Tak Perlu Jadikan PICK Modal Kempen”

ISKANDAR PUTERI: Tak wajar untuk Perikatan Nasional (PN) mengambil kredit Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagai bahan kempen untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan hal itu tidak sepatutnya berlaku meskipun PN merasakan mereka adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang ditubuhkan bersama Barisan Nasional (BN).

Respon Khairy itu merujuk kepada kempen PN yang menggunakan papan iklan memaparkan usaha mereka dalam program vaksinasi percuma.

“Itu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di peringkat kerajaan Persekutuan iaitu kerajaan yang dibentuk oleh BN (Barisan Nasional) dan PN. Jadi ia adalah program daripada semua dalam kerajaan.

“Kerajaan boleh ambil kredit, mungkin mereka mahu kata sebagai wakil dalam kerajaan (tetapi) kita pun boleh ambil kredit yang sama. Tak perlu jadikan sebagai bahan kempen PRN,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Gelang Patah, petang tadi.

Mengulas mengenai PRN Johor, Khairy menggesa setiap parti yang bertanding menyemai rasa hormat di antara satu sama lain, meskipun ada yang baru bertanding dalam PRN kali ini.

Ahli Parlimen Rembau itu juga meminta semua pihak tidak memandang enteng penyertaan calon-calon muda termasuk daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

“Seperti parti MUDA, Pejuang, Warisan dan sudah pastilah musuh tradisi kita PH (Pakatan Harapan), PN (Perikatan Nasional) semua ada maruah sendiri jadi tidak perlulah kita meremehkan usaha mereka.

“Kemunculan parti-parti baharu perlu dilihat sebagai medan ujian untuk semua parti bersaing dalam medium positif.

“Tak perlu kita remehkan usaha mereka, semua tengah mencuba untuk PRN ini. Semua ada pentas yang sama rata untuk merayu undi daripada rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles