KJ Boleh Jadi MB Negeri Sembilan Jika Bersama Bersatu

KUALA LUMPUR: “Kalau KJ (Khairy) sertai Bersatu dan bertanding di Negeri Sembilan, kita tiada masalah untuk tawarkan dia kerusi menteri besar.”

Demikian menurut Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith yang memaklumkan pihaknya terbuka untuk menawarkan jawatan nombor satu kerajaan negeri itu jika bekas Ketua Pemuda UMNO itu mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Bagi saya, itu adalah persoalan kecil kerana pentingnya kita nak memastikan kemenangan dan semestinya siapa sahaja yang dirasakan ada nilai dan difikirkan sesuai oleh presiden, jadi dia boleh jadi menteri besar.

“Itu kita serah pada pucuk pimpinan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurut Eddin Syazlee, tawaran itu dicadangkan Bersatu bagi memastikan gabungan pimpinan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memenangi kerusi itu pada PRN kelak.

Beliau percaya penyertaan Khairy ke dalam PN akan menjadi nilai tambah kepada gabungan itu.

Namun dalam masa yang sama Eddin Syazlee menegaskan, gabungan itu masih belum pasti status terkini Khairy selepas beliau dipecat UMNO.

“Tapi sehingga kini kita tak tahu status sebenar KJ (selepas dipecat dari UMNO),” katanya lagi.

Beberapa hari lalu, Bersatu Selangor juga memberitahu pihaknya terbuka sekiranya Khairy mahu bertanding pada PRN di Selangor.

Malah Timbalan Pengerusi Bersatu Negeri Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, tiada sebarang halangan dan terpulang kepada Khairy untuk membuat pertimbangan sewajarnya.

BBerkaitan

Latest articles