KJ Beri Keterangan Polis Berhubung Komen Komplot Sorok Titah Adendum

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin selesai memberi keterangan kepada polis pada petang semalam bagi membantu siasatan berkait komen berhubung dakwaan ‘berkomplot’ menyembunyikan titah adendum tahanan rumah bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Proses rakam keterangan bermula 5.15 petang di pejabat Khairy di Damansara sebelum bekas menteri kesihatan itu dilihat keluar dari bangunan kira-kira 6 petang, lapor Berita Harian.

“Saya memberikan keterangan kepada polis berkaitan laporan-laporan polis yang telah dibuat terhadap saya.

“Itu sahajalah…saya nak mengesahkan bahawa saya selesai memberi keterangan. Terima kasih kepada pihak polis dan terima kasih kepada pihak media,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kertas siasatan dibuka selepas polis menerima dua laporan terhadap bekas pemimpin Umno itu Jumaat lalu.

Katanya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan merekodkan kenyataan Khairy di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara.

Razarudin berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Jumaat lalu, seorang pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, membuat laporan polis terhadap Khairy kerana mengeluarkan komen beliau ‘berkomplot’ menyembunyikan titah adendum.

Dilaporkan, Khairy menerusi audio siar ‘Keluar Sekejap’ pada Jumaat, mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraan bawah tahanan rumah.

BBerkaitan

Latest articles